Femini & Famili

"Walaupun Jutawan Irfan Hidup Sederhana"

Ramai yang cemburukannya, apatah lagi bila melihat kehidupannya yang dilimpahi wang ringgit. Jika ditanya, siapa akan menolak untuk menjadi Irfan Khairi, 32, jutawan internet yang berjaya menggapai impiannya untuk bergelar jutawan sewaktu berusia 25 tahun!

"Saya akui kini wang bukanlah sasaran utama dalam kehidupan saya. Apa yang penting sekarang adalah mempertahankan apa yang sudah saya miliki berkat usaha saya selama ini selain tumpuan untuk keluarga dan memberi motivasi kepada masyarakat, " ujar Irfan.

Walaupun pendapatannya lima angka sebulan, namun bapa kepada tiga orang anak ini tidak mengamalkan gaya hidup mewah.

Sekalipun tinggal di rumah yang bernilai jutaan ringgit, segala urusan keluarga dilakukan sendiri oleh Irfan dan isterinya, Shazrina Mohd Yusof, 32. Tiada istilah orang gaji dalam kehidupan mereka.

"Walaupun ada duit, kami tidak suka nak berhabis tak tentu pasal. Segala perbelanjaan dirancang mengikut keperluan. Urusan anak-anak semuanya dilakukan oleh isteri seperti menghantar atau mengambil anak pulang sekolah. Begitu juga kerja-kerja rumahtangga. Kami lebi h suka makan di rumah daripada makan di luar. Air tangan isteri lebih bermakna daripada berhabis makan di tempat mahal.

"Begitu juga soal membeli belah. Kami amat jarang bershopping kecuali bila perlu, contohnya tiba hari raya. Malah, saya lebih suka amalkan membeli sesuatu barangan seperti pakaian yang boleh dibeli dengan harga murah. Saya sendiri jika mahu membeli sehelai baju berharga RM100 pun, saya akan fakir dua tiga kali.

"Anak-anak juga saya ajar untuk tidak dimanjakan dengan wang. Jika mahu sesuatu permainan yang mereka sukai, mereka harus memberi nilai positif dalam sesuatu yang mereka lakukan. Ataupun apabila mereka mendapat wang contohnya duit raya, saya akan bawa mereka beli permainan mengikut nilai wang yang mereka miliki supaya mereka belajar menghargainya, " jelas Irfan yang kini mulai popular sebagai pakar motivasi dan sering diundang menjayakan program ceramah di televisyen.

Sebagai isteri, Shazrina juga sependapat dengan suaminya. Apatah lagi melihat kesungguhan si suami terbukti akhirnya membuahkan hasil.

Pasangan ini bertemu di United Kingdom sewaktu kedua-duanya menuntut di sana. Cinta akhirnya membawa mereka ke jinjang pelamin. Walaupun berpendidikan tinggi, namun Shazrina lebih suka menjadi suri rumahtangga dan membantu suaminya menjalankan perniagaan internet di rumah.

Hasil perkongsian hidup pasangan ini diserikan dengan kehadiran Ilham Abadi, 6, Kasih Kamilia Abadi, 4, dan Ikhlas Abadi, 2.

"Mula-mula kahwin dulu, saya membantunya menguruskan bisnes internetnya seperti mengemaskini dan membungkus pesanan. Tapi sekarang tumpuan saya lebih kepada anak-anak. Saya Bantu juga mana yang patut tapi tidak seteruk dulu, tambahan pula suami sudah ada pekerja sendiri untuk melakukannya, " ujar Shazrina yang kini sedang hamil lima bulan.

Bercerita tentang suaminya yang kini semakin dikenali ramai. Shazrina hanya tersenyum apabila ditanya apakah tidak risau dengan keadaan itu. Maklumlah, seseorang lelaki yang bertaraf jutawan pula mempunyai rupa, ia mudah terdedah kepada pelbagai keadaan yang sering dirisaukan oleh seorang isteri. Contohnya risiko suami digoda atau tergoda pada wanita lain.

"Bukan sesuatu yang salah apabila seseorang wanita berperasaan begitu. Namun dalam kehidupan saya dengan Irfan, tidak pernah terlintas sedikitpun rasa cemburu atau syak wasangka terhadapnya. Saya percayakan suami saya.

"Irfan tidak pernah berubah sejak saya mula mengenalinya. Bagaimana sikapnya sebelum jadi jutawan dulu, begitulah juga sekarang. Malah, kasih sayangnya makin menebal dengan kehadiran anak-anak. Dia tidak boleh berjauhan dengan isteri dan anak-anak.

"Walaupun bergelar jutawan, namun kebanyakan waktu Irfan adalah bersama keluarga. Inilah kelebihan perniagaan internet. Ia boleh dilakukan di rumah yang membuat masa suami lebih banyak di rumah sekaligus sentiasa dekat dengan anak isteri.

"Jika dia terpaksa kerja luar, sama ada di dalam atau luar negara, Irfan pasti akan membawa kami sekeluarga. Kira bekerja sambil bercuti la, "cerita Shazrina tertawa.

Mengulas tentang sikap suaminya ini di rumah menurut Shazrina, Irfan seorang yang lembut dan tidak pernah meninggikan suara.

"Dia sentiasa lembut bila bercakap dan sukar untuk melihatnya bermasam muka. Dalam mendidik anak-anak pun begitu. Irfan tidak gunakan kemarahan untuk mendidik namun pendekatan psikologi lebih membantu. Kerana itu anak-anak mudah mendengar kata walaupun dia bukan jenis yang garang.

"Saya sendiri sebagai isteri pun kadangkala sukar untuk meneka perasaanya. Prinsip Irfan, apa pun yang berlaku dalam hidup kena berfikiran positif. Sebab itu wajahnya sentiasa nampak ceria, " jelas Shazrina.

Sedikit sebanyak tentang latar belakang Irfan, anak muda kelahiran Ipoh, Perak ini mula belajar berniaga sewaktu sekolah menengah. Ketika itu, dia membuat rekaan corak untuk T-shirt dan kad lalu dijual kepada kawan-kawannya.

Seterusnya menamatkan pelajaran di ITM, Irfan meneruskan pengajiann di sebuah universiti di United Kingdom dalam bidang multimedia pada tahun 1999. Ketika inilah Irfan mula belajar selok belok perniagaan Internet. Dia menjual pelbagai produk seperti peta Malaysia, buku perlancongan dan agama, khidmat grafik dan mencipta logo dan sebagainya hanya melalui internet.

Hasilnya, pada usia 25 tahun, impian Irfan bergelar jutawan menjadi kenyataan apabila profit hasil perniagaannya mencecah RM1 juta tanpa mempunyai pejabat atau pekerja sendiri. Semuanya dilakukan oleh Irfan hanya menggunakan sebuah komputer riba


HakCipta terpelihara © 2010 RahsiaInternet. com & Irfan Khairi Sdn Bhd. Segala yang terkandung di dalam laman web ini tidak boleh di cetak semula secara digital atau cetakan tradisional tanpa kebenaran pemilik. TERMS & CONDITIONS PERNIAGAAN INTERNET