E-Siswa

"Ikon Jutawan Perniagaan Siber"

Penglibatan Awal Bergelar Jutawan

Sekali imbas, pemuda kelahiran Perak ini cukup ringkas penampilannya. Memasang niat sejak berusia 18 tahun untuk bergelar jutawan kini menjadi nyata. Menurut Dr. Irfan, beliau memang seorang yang bermotivasi dan telah menetapkan matlamat untuk menjadi seorang jutawan sebelum berusia 30 tahun.
Menyorot kisah sebelum memegang status jutawan, beliau pernah menuntut di Institut Teknologi Mara(kini Uitm) dalam bidang yang kurang diminatinya iaitu ekonomi. "Minat saya sebenarnya lebih kepada seni rekaan. Lepas tamat belajar di Uitm, saya berpeluang melanjutkan pelajaran ke Britain dalam bidang multimedia, " akuinya yang begitu lemah dalam bidan figura.

Seusia awal 20 tahun, beliau menemui satu konsep yang amat mudah dan telah lama diaplikasikan di negara Barat iaitu e-commerce gabungan perniagaan+Internet. Sejak itu, beliau menggabungkan minatnya yang gemar akan penggunaan Internet dan perniagaan sebagai satu platform untuk membina kerjaya. Selepas tamat pengajian ijazah pertamanya di UK, beliau ditawarkan berkhidmat di salah sebuah syarikat teknologi maklumat(IT) terbesar di Birmingham iaitu Netmedia(UK) Ltd sebagai pereka system dan perunding Internet. Beliau bertanggungjawab mereka cipta system pembelajaran Internet untuk sekolah-sekolah di UK yang dikenali sebagai Learning Grid dan digunakan oleh lebih 5, 000 buah sekolah di Britain.

Namun, Dr Irfan ternyata tidak puas dengan pencapaian tersebut. Pada tahun kedua bekerja di syarikat berkenaan, beliau memulakan perniagaan Internet yang beroperasi dari kediamannya secara sambilan. Dalam tempoh setahun setelah beroleh pendapatan lebih lumayan, beliau mengambil keputusan berhenti kerja dan memberikan tumpuan sepenuhnya pada perniagaannya. Akhirnya dalam tempoh tiga tahun melibatkan diri dalam perniagaan Internet, anak muda ini berjaya mengumpul untung bersih RM1 juta dalam usia 25 tahun.

Teknik Perniagaan

Untuk bergelar jutawan tidak semudah yang disangka. Namun "di mana ada kemahuan, di situ ada jalan". "Ketika berusia 18 tahun, saya sudah mula membaca kisah orang-orang yang berjaya menjadi jutawan dalam perniagaan mereka. Tiada jalan pintas untuk berjaya. Ramai yang beranggapan duit boleh dimiliki dalam sekelip mata, hanya goyang kaki dan di rumah dan duit boleh masuk ke akaun bank. Saya tidak begitu, sejak dari dahulu saya bekerja mendisplinkan diri malah turut menghabiskan masa yang berjam-jam lamanya di hadapan computer. Dari situ, saya memulakan perniagaan yang meliputi perkhidmatan reka bentuk laman sesawang, e-book, grafik, logo, perkhidmatan SEO (Search Engine Optimization), perunding Multimedia, E-Niaga, kaedah pembelajaran, dan sebagainya. Saya juga memasukkan buku-buku sebagai produk yang diniagakan termasuk buku yang saya tulis, Rahsia Jutawan-Jutawan Internet Terbongkar, " terang Dr Irfan. Pada peringkat awal pembabitannya, beliau berjaya menjual enam rekaan sehari yang memberikannya pendapatan hamper RM3, 000 setiap hari.

Ternyata perniagaan beliau sangat meluas biarpun tidak memiliki pejabat secara formal. Segalanya bermula dari kediaman miliknya sehingga liputan pelanggannya terdiri dari seluruh dunia termasuk Amerika Syarikat, UK, Eropah sehingga ke negara Timur Tengah. Lebih menguntungkan, beliau juga tidak perlu mengeluarkan wang untuk menyewa atau membeli sebarang premis.

"Terdapat banyak kelebihan berniaga di Internet, kosnya amat rendah dan saya hanya perlu membayar sewa bulanan yang dikenali sebagai web hosting dalam lingkungan RM15 sahaja. Dengan hanya berada di rumah atau berkonsepkan SOHO(Small Office Home Office) perniagaan saya tetap bergerak. Dalam masa yang sama juga saya tidak perlu bergegas ke pejabat atau berhadapan dengan kesesakan lalu lintas. Tetapi perniagaan saya tetap merentas ke seluruh sempadan dunia, " cerita beliau bersungguh-sungguh.

Ubah Tanggapan Masyarakat

Perniagaan dengan menggunakan Internet sebagai medium penyebaran barangan dan perkhidmatan mungkin masih baharu di negara kita. Pada peringkat awal diperkenalkan agak sukar untuk mendapat kepercayaan dalam kalangan masyarakat Malaysia. Tetapi perkembangannya semakin memberangsangkan sejak belakangan ini.

"Sekembalinya saya di tanah air untuk memulakan perniagaan melalui Internet ia agak janggal. Tetapi saya percaya sekiranya kita memberikan sesuatu yang terbaik kepada pelanggan sudah pasti pulangannya juga adalah yang terbaik. Kepercayaan pelanggan tidak boleh dijual beli. Oleh sebab itu tiada jalan pintas untuk berjaya. Berusaha dengan ikhlas menjual barangan dan membantu pelanggan, sudah pasti kita beroleh kepercayaan. . Kepada masyarakat di luar sana atau sesiapa yang ingin menceburi bidang perniagaan Internet ini anda harus terlebih dahulu membuat kajian atau meneliti sejauh mana kebenaran sesuatu perniagaan itu. Jangan terburu-buru membuat tanggapan atau mempercayainya. Berlandaskan keikhlasan dan sabar dalam perniagaan, ternyata kini sudah sepuluh tahun berkecimpong dalam bidang ini, " akuinya yakin.

Harapan

Biarpun usianya masih muda, wang tidak lagi menjadi keutamaan dalam hidup beliau. Asas perniagaan Internet sudah sebati dalam dirinya. Tetapi hasrat dan harapannya ingin membuka ruang kepada masyarakat terutamanya golongan remaja agar bijak mencari peluang untuk membina masa depan yang cemerlang. "Buat masa ini, saya dalam proses menyiapkan buku berjudul Jutawan Bersama Irfan Khari. Harapan saya semoga buku ini bakal menjadi rujukan kepada mereka yang ingin menjadi jutawan. Dalam masa yang sama juga ilmu adalah akar kepada setiap kejayaan yang bakal kita miliki. Tanpa ilmu kita mungkin tidak mampu melangkah lebih jauh ke hadapan. Berasaskan ilmu juga kita dapat mempelbagaikan usaha dan ikhtiar untuk mencuri peluang yang ada dalam perniagaan. Kepada pembaca di luar sana anda harus percaya ilmu adalah segala-galanya. Untuk berjaya hingga ke tahap ini saya perlu banyak berfikir, berasa gembira dengan kerja yang saya lakukan dan jangan sesekali bekerja di bawah tekanan, " cerita Dr. Irfan mengakhiri bicara.


HakCipta terpelihara © 2010 RahsiaInternet. com & Irfan Khairi Sdn Bhd. Segala yang terkandung di dalam laman web ini tidak boleh di cetak semula secara digital atau cetakan tradisional tanpa kebenaran pemilik. TERMS & CONDITIONS PERNIAGAAN INTERNET