Berita
Minggu: Sembang Sabtu Jutawan
Internet Lemah Angka Irfan cemerlang seni lukis ketika di sekolah
Siapa
sangka seorang tokoh jutawan internet, ahli perniagaan berjaya malah turut dikenali
sebagai pakar motivasi rupa-rupanya lemah dalam sebarang kemahiran yang membabitkan
penggunaan angka.
Noor Irfan Khairi Azmi,31, atau lebih dikenali
dengan panggilan Irfan Khairi tidak berselindung menceritakan kelemahannya yang
amat ketara iaitu tidak mampu mengingati dan menyelesaikan masalah berkaitan angka
sejak di bangku persekolahan lagi. Malah ketika sesi temubual, beliau terpaksa
membuka dompet mencari kad perkahwinan untuk mengesahkan tarikh perkahwinan yang
selalunya menjadi tarikh penting setiap pasangan suami isteri.
Sering kali
juga beliau termenung lama berfikir untuk memberikan jawapan setiap kali soalan
yang diajukan menjurus kepada tarikh penting dalam hidup termasuk tempoh dan tahun
beliau memasuki institusi pengajian dan menceburi bidang perniagaan. Namun,
dengan nada berseloroh, beliau berkata, nasibnya agak baik kerana masalah itu
tidak berlaku ketika menyediakan cek untuk sebarang pembayaran.Bagaimanapun, untuk
mengelakkan masalah berlaku, beliau terpaksa melantik pekerja khas yang berperanan
menguruskan segala hal berkaitan angka termasuk memeriksa cek yang dikeluarkan.
"Nasib
baik saya tidak pernah pula terisi lebih kosong dalam sebarang cek yang saya keluarkan
untuk pembayaran.Tetapi isteri saya dan pekerja memang sentiasa menyemak supaya
tidak berlaku kesilapan," katanya sambil ketawa.
Menceritakan kelemahannya
itu, Irfan Khairi berkata, beliau adalah pelajar cemerlang dan cukup hebat dalam
bidang seni lukis ketika di bangku persekolahan.Malah sejak berusia 15 tahun lagi,
beliau diberi kepercayaan untuk memimpin Kelab Seni Lukis di sekolahnya.
Seorang
pelajar yang sederhana dalam pencapaian akademiknya, malah sering kali sekadar
mendapat tempat ke20 daripada 40 pelajar dalam kelas.Tumpuan dan kehebatannya
hanya terserlah dalam bidang seni lukis dan seperti yang dinyatakan, angka adalah
kelemahan besarnya.Jadi, tidak hairan apabila Irfan Khairi gagal dalam subjek
Prinsip Akaun ketika menduduki Sijil Pelajaran Malaysia(SPM) pada 1993.
Pasti
ramai yang ingin mengenali lebih dekat jutawan muda ini yang berjaya memiliki
simpanan sebanyak RM1 juta ketika seawal usia 25 tahun.Pasti ramai yang beranggapan
Irfan Khairi seorang yang serius dan tiada masa untuk berhibur. Tanggapan itu
silap kerana Irfan Khairi sebenarnya sangat suka berhibur, malah sejak Tingkatan
Tiga, beliau sudah mengunjungi pusat snuker bersama beberapa kawan karibnya.
"Saya
akan bermain snuker dua kali seminggu.Boleh dikatakn aktiviti rutin jugalah kerana
saya memang meminati snuker.Setiap hari, saya akan bawa baju biasa dalam beg sekolah
dan akan menukarnya ketika balik sekolah.Maklumlah, nak masuk pusat snuker, tidak
boleh berpakaian sekolah.
"Selain itu, saya juga menonton wayang hampir
setiap minggu sejak zaman persekolahan.Saya memang meminati industri hiburan.Saya
pandai main gitar, malah pernah mengadakan persembahan di sekolah.Saya main gitar
dan pada ketika itu, kumpulan kami mendendangkan lagu Belaian Jiwa.
"Ketika
di Tingkatan Tiga, saya memang suka berhibur dan tidak fokus pada pelajaran.Nasib
baik ayah yang pada ketika itu seorang pegawai di kementerian pendidikan bersikap
terbuka dan tidak marah.Ibu garanglah juga, tapi saya masih ada kebebasan untuk
meneruskan cara saya," katanya.
Beliau berkata, minatnya kepada industri
hiburan terutama filem mendorong dirinya menyediakan set panggung mini di rumahnya.Namun,
minat menonton wayang masih diteruskan hingga kini dan ia menjadi rutin pada setiap
hujung minggu tambahan jika ada filem aksi ditayangkan.Malah, pertemuan dengan
isterinya berlaku ketika menonton filem Toy Story di United Kingdom(UK).
"Saya
juga meminati Akademi Fantasia tetapi sejak episode ketiga saya rasakan ia semakin
membosankan kerana kualitinya tidak seperti ketika episode pertama dan kedua,"katanya.
Anak
kedua daripada tiga beradik ini adalah yang paling lemah dalam akademik jika dibandingkan
dengan semua saudara maranya.Namun, ketika memasuki Tingkatan Empat, beliau sudah
mula serius dengan pelajaran dan sudah mempunyai keazaman yang kuat untuk menjadi
seorang kartunis yang berjaya berberkalkan kemahiran seni lukisnya.
Keazaman
itu direalisasikan apabila beliau menerima tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA)
untuk melanjutkan pelajaran di UK dalam bidang pengiklanan dan multimedia walaupun
pada peringkat awal hamper gagal dalam pengajian di Institusi Teknologi Mara (kini
UiTM) kerana kesilapan menyertai bidang ekonomi.
"Sejak belajar di
UK, saya sudah mula berjinak-jinak dengan perniagaan internet, tetapi secara kecil-kecilan.Pada
tahun 2001 iaitu selepas mendirikan rumahtangga barulah saya benar-benar serius
dan menumpukan sepenuh masa di depan komputer untuk merealisasikan hasrat bergelar
jutawan sebelum berusia 30 tahun.
"Kemahiran saya dalam bidang seni
lukis digunakan sepenuhnya mereka logo dan grafik muka depan buku, seterusnya
dijual di internet.Saya yakin dengan jalinan perniagaan menggunakan internet kerana
semua sedia maklum, internet menawarkan perhubungan tanpa had ke seluruh dunia.
"Malah,
ia disokong dengan kemahiran saya menggunakan internet kerana memang sejak kecil
saya sudah didedahkan dengan komputer," katanya.
Suatu yang sukar
dipraktikkan semua orang apabila beliau memperuntukkan hanya empat jam untuk tidur.Selain
makan, mandi dan solat, berjam-jam masa lagi diperuntukkan di depan komputer menjual
rekaannya dengan harga RM500 setiap satu.Pada peringkat awal pembabitannya, beliau
berjaya menjual enam rekaan sehari yang memberikannya pendapatan hampir RM3,000
setiap hari.
Beliau menafikan dirinya digelar jutawan segera kerana kejayaannya
bukan diperoleh secara tiba-tiba.Beliau pernah bekerja sebagai tukang cuci tandas
di pasar raya ketika di UK selama dua tahun untuk mengumpulkan kira-kira RM 21,000
bagi membolehkannya menyertai kelas tiga hari strategi perniagaan melalui internet.
Ketika
ditanya siapakah idola yang memberikannya semangat untuk berjaya, beliau memberi
beberapa nama personaliti terkenal seperti Denzel Washington, Brad Pitt, Datuk
Yusof Haslam dan Rosyam Noor.Katanya, nama-nama besar ini dipilih kerana mereka
berjaya dan menjadi kaya bukan dengan tiba-tiba malah pernah melalui episod memeritkan
sepanjang kehidupan mereka "Datuk Yusof Haslam antaranya, sebelum berlakon,
beliau pernah bekerja sebagai konduktor bas dan pekerja di kilang besi.Brad Pitt
pula pernah berkerja sebagai penghantar peti sejuk.Jadi, saya hormati mereka kerana
mereka kini sangat berjaya," katanya.
Irfan Khairi kini sudah mula
menceburi bidang yang lain dengan menubuhkan syarikat penerbitan buku dan produksi
serta bercita-cita menerbitkan film berasaskan kisah benar kehidupan tokoh yang
berjaya dalam kehidupannya.Selain itu, dijangka dalam tahun ini, beliau akan menubuhkan
yayasan yang berperanan memberi pendedahan kepada masyarakat berkenaan peluang
berjaya melalui internet.
"Satu prinsip yang saya pegang dan ingin
dikongsi dengan semua ialah sentiasa tetap dengan mudah putus asa.Pegangan hidup
saya mudah iaitu 'alang alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan,"
katanya.
  Klik
di sini untuk kembali ke RahsiaInternet.com >>>
|